WELCOME TO SYABAB AL-DUFFI

Jun 11, 2009

ULAMAK WARASATUL ANBIYA’

Firman Allah S.W.T di dalam surah Faatir ayat 28:

”....... Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.......”

Ulamak ialah orang yang berilmu yang benar-benar mengetahui selok belok agamanya dan benar-benar mentaati Allah. Mereka bertaqwa kepada Allah dalam erti kata memelihara diri dari sesuatu yang membawa kepada seksa dan kemurkaan Allah, dengan menjalankan undang-undang peraturanNya serta hukum-hukum perintahNya.

Mereka ialah ulamak yang bukan hanya menghafal skrip dan kemudian menjadi penonton di bawah pentas perjuangan, tetapi mereka ialah ulamak yang fasih berdialog berserta merekalah pelakon yang memegang watak utama, yang berdiri teguh ditengah-tengah medan. Kerohanian dan keimanan serta roh perjuangan mereka dihirup oleh jutaan manusia yang menonton peribadi dan perjuangan mereka.

Ulamak juga tidak memisahkan medan ilmu daripada medan amal. Di mana mereka ada, di situ ada ilmu dan amal. Mereka hidup dengan dua lidah, lidah yang mengungkap kebenaran dan lidah yang melahirkan amalan.

Ulamak menjadi cermin kepada perkataan dan amalan ummat. Merekalah model penghidupan Islam, merekalah model rumahtangga muslim, merekalah contoh dan tauladan dalam aspek sakhsiah dan akhlak Islamiyyah.

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Dua golongan dari ummatku, apabila mereka baik, nescaya baiklah seluruh manusia. Dan apabila mereka rosak maka rosaklah seluruh manusia, iaitu para pembesar (umarak) dan ulamak”.

Jika dilihat kepada ciri-ciri ulamak yang telah disebutkan, pastinya kita akan menyatakan ciri-ciri inilah yang sepatutnya ada pada umarak yang akan mentadbir dan memimpin masyarakat.

Orang yang berilmu (Ulamak) mesti memimpin masyarakat ke arah jalan yang benar. Kerana jika dibiarkan kepada orang yang tidak sepatutnya, maka akan rosaklah seluruh pengikutnya. Oleh sebab itu, ulamak mesti memimpin dan umarak mesti mempersiapkan diri sebagai orang yang berilmu pengetahuan terutamanya ilmu agama agar tidak terseleweng dari landasan sebenar.

Kita tentu faham bahawa, umara’ tidak semestinya ulamak. Tetapi, tidak mustahil umarak boleh jadi ulamak sekiranya mereka berusaha menambah ilmu pengetahuan dan dengan ilmu tersebut menambahkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Manakala ulamak semestinya umara’ yang sepatutnya menjadi pemimpin kepada seluruh manusia.

(“Umarak tidak semestinya ulamak, ulamak semestinya umarak”)

Jika difikir dan direnung, kita dapat simpulkan bahawa umarak dalam kalangan ummat Islam mestilah ulamak yang benar-benar mengetahui selok belok agamanya dan benar-benar mentaati Allah dan Rasulnya.

Ibnu Qayyim al-Jauzi pernah menjelaskan dalam kitabnya ‘Alaamul Muhaqqiqiin dengan katanya: “adapun maksud Ulil Amri di kalangan kamu ialah ulamak”. Ulil Amri di situ merujuk kepada surah an-Nisa’ ayat 59.

Peranan ulamak sebagai umarak ini sesuai dengan tarafnya sebagai ‘Ulamak Pewaris Nabi’. Nabi Muhammad S.A.W memimpin manusia ke jalan kebenaran, maka ulamak sebagai pewaris nabi mesti menjadi pemimpin kepada seluruh manusia menuju kebenaran. Dalam erti kata lain, ulamak pewaris Nabi ialah penyambung risalah nubuwwah yang berasaskan kepada “Iqamatu Din, wa siasatu dunya bih” menegakkan agama dan memakmurkan dunia dengannya.

Allahu A’lam..

Rujukan:

- Tafsir pimpinan ar-Rahman

- Ulama’, Dakwah, & Jamaah

- Apa Ertinya Saya Menganut Islam


http://al-duffi.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment