WELCOME TO SYABAB AL-DUFFI

Feb 15, 2010

Bidadari VS Valentine

Sudah lama al-Duffi tidak membelek akhbar tempatan kerana kesibukan kerja. Alhamdulillah 2 hari cuti kerja sempena tahun baru cina, al-Duffi amat terasa betapa nikmatnya kelapangan masa yang diberikan oleh Allah S.W.T. Syukur alhamdulillah.


Al-Duffi cuba membelek sebuah akhbar tempatan bertarikh 13 Februari 2010.


Setelah membelek helaian ketiga, dup dup dup, jantung al-duffi berdegup kencang apabila terbaca tajuk berita “Gadis lari cinta dihalang keluarga kekasih”, Astaghfirullahal A’ziim, beristighfar panjang al-Duffi.


Dup dap dup dap dup dap, bertambah kencang jantung al-duffi apabila melihat tajuk lain “Kesan gigitan cinta suspek kes rogol”, Astaghfirullahal A’ziiiim, bertambah panjang istighfar al-Duffi.


Bukan itu saja, masih dalam muka surat yang sama, satu tajuk berita lagi “Cikgu tagih cinta sejenis”. Astaghfirullahal A’ziiiim, tak berhenti al-Duffi beristighfar.


Al-Duffi percaya, setiap hari akan ada isu-isu seperti ini dalam akhbar tempatan. Apa yang mengejutkan al-Duffi lagi, akhbar yang sama tersebut mendedahkan satu kempen yang dikecam ramai iaitu ‘no panties’ (tanpa seluar dalam), Astaghfirullahal A’ziiiim, betambah lagi istighfar al-Duffi.


Akhbar tersebut juga mendedahkan kempen berkenaan dipromosikan di kalangan penuntut wanita di institut pengajian tinggi (IPT) sempena hari kekasih pada 14 Februari 2010 (ahad). “oh, hari kekasih rupanya 14 Februari ni” baru al-Duffi tahu hari kekasih pada ahad ni. “waduuh, astaghfirullahal A’ziiim” terkesima seketika. “apa nak jadi dengan dunia remaja sekarang ni?” bisik al-Duffi.


Berita-berita masalah sosial, kes rogol, masalah cinta dan sebagainya sering kedengaran dan didedahkan di dalam dada akhbar sejak sekian lama sebenarnya. Cubaan membasmi dan menyelesaikan masalah-masalah sebegini dilihat tidak efektif dan seolah-olah tiada jalan keluar. Hal ini merisaukan al-Duffi dan sahabat-sahabat seperjuangan.


Masalah ini kian berkembang dan merebak di kalangan remaja, anak muda dan tidak terkecuali para penuntut di IPT yang dikatakan golongan bijak pandai juga turut terjebak dalam masalah ini.


Sedang masalah ini berkembang, datang pula hari kekasih yang juga dikenali ‘valentine's day’. Ramai anak muda menyambut hari kekasih ini bersama pasangan masing-masing. Ramai peniaga-peniaga di gedung beli-belah, pasar-pasar, market dan sebagainya menyediakan pelbagai bentuk barangan cenderamata dan hadiah sempena hari kekasih.


Kini, tersebar di dalam siaran berita tempatan dengan operasi “ops kekasih” lebih kurang gitulah istilah yang al-Duffi rasa sesuai gunakan. Operasi menangkap pasangan kekasih luar nikah oleh pihak berkuasa semakin giat dijalankan. Syabas kepada pihak yang berkenaan.


Walaubagaimanapun, berita operasi tangkapan ini menunjukkan bahawa ramai anak muda atau pasangan-pasangan kekasih menyambut hari valentine. Hal ini merupakan satu kes yang tidak sepatutnya dikaitkan dengan individu muslim, malangnya anak muda Islam yang ramai terlibat dalam kes tangkapan ini.


Kebanyakan pasangan kekasih akan meraikannya dengan melakukan sesuatu yang dilarang Islam, termasuk berpegangan tangan dan melakukan hubungan terlarang. Hal ini turut melahirkan ketegasan di kalangan ulama agar orang Islam tidak menyambut valentine termasuk Ketua pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama, Abdullah Cholil yang menyatakan “Kami larang orang Islam meraikan Valentine. Ia biasanya diraikan muda-mudi yang belum berkahwin”.


Ketua Majlis Ulama Indonesia di Jawa Timur, Lalilurrahman pula menegaskan, sambutan cinta dan bermesra dengan pasangan kekasih itu adalah tradisi barat dan ia tidak sepatutnya diraikan umat Islam. Tambahnya lagi “Valentine berasal dari budaya barat. Ia tidak langsung memiliki ciri-ciri Islam ataupun budaya yang diamalkan di rantau timur.


Al-Duffi merasa sangat kesal dengan fenomena yang sedang melanda anak muda Islam hari ini. Surat khabar tempatan hari ini mendedahkan ramai penuntut IPT juga turut ditangkap dalam operasi penangkapan pasangan kekasih luar nikah sejak beberapa hari operasi tersebut dijalankan.


Fenomena yang sedang melanda ini akan lebih parah jika dibiarkan begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab. Semua anggota masyarakat perlu mengambil peranan dalam usaha menangani gejala negatif di kalangan remaja.


Ibu bapa memainkan peranan yang paling besar dalam usaha mendidik anak-anak ke arah melahirkan modal insan yang berakhlak mulia. Bak kata pepatah “Merentung buluh biarlah dari rebungnya”. Nilai-nilai Islam perlu diterap sedari kecil lagi kepada anak-anak agar mereka mengenal erti dosa pahala yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan mereka di akhirat kelak.


Tidak kurang juga media memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran kanak-kanak, remaja bahkan orang dewasa. Bagi al-Duffi, filem-filem berorientasikan kisah cinta remaja, dan cerita-cerita barat yang banyak mengandungi unsur-unsur negatif serta nilai moral yang rendah tidak perlu ditayangkan lagi dalam kaca televisyen. Filem-filem sebegini banyak mempengaruhi dan meransang anak muda bahkan dewasa terjebak ke lembah maksiat apatah lagi dalam suasana anak muda yang kurang dari sudut pendidikan agama.


Kini, hari kekasih tiba, ada beberapa siaran tempatan yang menyiarkan kisah-kisah cinta dan pasangan kekasih. Jika diselidiki, bukan masa hari kekasih sahaja malah sebelum ini pun kebanyakan filem melayu banyak menerapkan kisah cinta dan perasaan.


Sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan. Setiap individu perlu berubah, Ibu bapa perlu berubah, ahli keluarga perlu berubah, masyarakat perlu berubah, filem melayu perlu berubah, media perlu berubah, pendek kata semuanya bertanggungjawab dan semua yang bertanggungjawab perlu berubah untuk satu peningkatan nilai moral dan akhlak anak-anak. Ayuh sam-sama kita berubah.


Paling penting adalah melakukan perubahan pada diri sendiri. Terutama golongan sasaran yang biasa terjebak dengan fenomena cinta dan hari kekasih ini perlu melakukan perubahan. Anda sendiri yang perlu mengubah diri anda bukan orang lain kerana tiada siapa dapat mengubah diri anda melainkan diri anda sendiri.


Apa yang perlu dibuat sekarang?


Kepada mereka yang belum terjebak ke dalam adegan cinta pertama, kasih kekasih, aku cinta engkau dan engkau cinta aku, bermain dengan perasaan cinta dan kasih sayang, dan apa sahaja yang sinonim dengannya yang diluar batasan syara’ dan yang membawa kepada cinta terlarang jangan cuba-cuba untuk mendekatinya. Usah mencari pasangan kekasih semata-mata hendak menyambut valentine kemudian terjebak ke dalam lembah kemaksiatan.


Kepada mereka yang telah terjebak dengan adegan cinta dan sebagainya, cepat-cepatlah melangsungkan akad nikah agar tidak terus terjatuh ke dalam cerun atau lembah cinta terlarang. Berhentilah segera daripada meneruskan hubungan yang dilarang oleh Allah S.W.T. kerana kita hidup bukan di dunia sahaja bahkan kita akan dihidupkn semula di akhirat kelak. Syurga disediakan kepada mereka yang soleh dan solehah. Bukan itu sahaja, bidadari di syurga jauh lebih cantik berbanding bidadari dunia.


Jika anda mengejar bidadari dunia dengan cara yang salah, sukar untuk anda memiliki bidadari syurga nanti.
Tapi jika anda memiliki bidadari dunia dengan cara yang betul, anda juga akan memiliki bidadari syurga nanti,
insyaAllah.


Yakinlah dengan janji Allah S.W.T dalam firman-Nya:


17. Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, di tempatkan Dalam taman-taman syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya).

18. Mereka bersenang lenang Dengan apa Yang dikurniakan oleh Tuhan mereka, dan mereka dipelihara Tuhan dari azab neraka.

19. (dan dikatakan kepada mereka): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman Yang lazat serta baik kesudahannya, Dengan sebab apa Yang kamu telah kerjakan".

20. Mereka duduk berbaring di atas pelamin-pelamin Yang berderet; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari Yang putih melepak, lagi Luas cantik matanya.

(Surah Thuur: 17-20)


SubhanaLlah. Betapa besar nikmat yang Allah janjikan untuk hamba-hambanya yang bertakwa.


Apapun yang bakal terjadi, pilihan di tangan anda. Allah telah menjadikan kita jiwa yang padanya ada dua pilihan, kejahatan dan ketakwaan. Kita yang memilih jalan mana yang akan kita lalui. Lorong gelap atau lorong yang diterangi cahaya keimanan dan ketakwaan. Kita punya akal yang waras, pasti kita mampu memutuskan pilihan jalan yang bakal kita lalui untuk menuju ke destinasi yang kita idamkan. Bak kata Nabil “Lu pikirlah sendiri”.


Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa anda untuk memilih yang itu atau yang ini. Kerana anda punya kuasa memilih.


Mereka yang telah terlanjur, pintu taubat masih terbuka dan sentiasa terbuka selagi matahari terbitnya di timur. Allah itu maha pengampun.


Sudah menjadi lumrah bagi semua orang Islam, ada kesilapan yang kita lakukan dengan sedar dan ada juga kesilapan yang kita lakukan tanpa sedar. Selagi nyawa belum diambil, kiamat belum datang, cepat-cepatlah dan selalulah kita memohon ampun kepada Allah S.W.T. Semoga kita diampunkan segala dosa yang besar mahupun yang kecil. Amin.


Sekian.


Coretan:

Syabab al-Duffi.

http://al-duffi.blogspot.com