WELCOME TO SYABAB AL-DUFFI

Dec 29, 2009

Azam Baru

Salam Syabab,

Apa khabar Syabab sekalian? Al-duffi harap sihat selalu.
Dah lama al-duffi tak tanya khabar Syabab sekalian..


Sebelum tahun 2009 ini berakhir,
mari syabab sekalian renungkan
apa yang syabab sekalian lalui
dalam tempoh setahun ini..


Sudah pasti ada manis dan ada pahitnya.
Dalam hal kehidupan di bumi Allah ini,
mungkin ada pelbagai kisah suka duka anda.


"Mungkin anda meninginkan sesuatu tak dapat?"

"Mungkin anda mencuba sesuatu tapi gagal?"

"Mungkin anda dah berjaya dan sedang membina kehidupan bahagia?"

"Mungkin anda dah dapat sesuatu tetapi terpaksa membuangnya?"

"Mungkin anda salahkan orang lain sebagai punca kegagalan?"

"Mungkin anda dah berputus asa dalam memburu kejayaan?"

"Mungkin anda seorang yang tabah dalam menghadapi kegagalan demi kegagalan?"

Atau 1001 lagi kisah suka duka sepanjang tahun 2009 ini.

Setiap orang ada kisahnya.


Apa yang dah berlalu, biarkannya...

Tahun baru yang mendatang, kita bina azam baru...

Jadi,

Apakah azam anda pada 2010?

Pastinya..

Azam yang bakal menghasilkan kejayaan buat anda
Walau apapun azam anda,
jangan lupa sentiasa ingat kepada Tuhan.
Hanya dengan kuasa-NYA azam anda bakal tercapai.

Jadikan pengalaman lalu sebagai pemangkin
ke arah kejayaan pada masa akan datang.
Jika ada buat kesilapan, usah diulangi lagi.

Di sini al-duffi cuma ingin ucapkan
selamat maju jaya buat anda,
terutamanya pada tahun 2010 sedang menjelang.

Maaf lah, berceloteh pula al-duffi....

Selamat Tahun Baru buat anda Syabab sekalian dan
semoga dipanjangkan umur.

Moga kita bersua selalu di alam maya ini


Sekian.

Dec 27, 2009

Gagasan Kebangkitan Semula Tamadun Islam

Wahai syabab, Islam pernah gemilang. Sejarah tercipta telah membuka mata seluruh umat manusia suatu ketika dahulu betapa hebatnya dan betapa agungnya Islam sebagai agama yang diredhai Allah S.W.T.

Kebangkitan tamadun Islam dalam lembaran sejarah telah terlakar sebagai sebuah tamadun yang paling cepat berkembang. Tamadun besar dunia seperti tamadun China (5000SM), India (3000SM), Mesir (5000SM), Yunani (1500SM) dan Parsi (500SM); semuanya memakan masa yang lama untuk berkembang.

Betapa pantas perkembangan Tamadun Islam, tidak sampai 2 abad (200 tahun) dari saat kelahirannya, kegemilangannya telah mempengaruhi Eropah dari pergunungan Pyranis (Himalaya) sedangkan tamadun besar yang lain memakan masa beribu-ribu tahun lamanya untuk mencapai kemajuan. Sedangkan Islam lahir di tengah-tengah masyarakat yang tinggal di gurun kering dan bilangan penduduknya sedikit dan berpindah-randah.

Perkembangan yang berlaku tentunya tidak lain dan tidak bukan adalah kerana ajaran Islam itu sendiri bersifat maju dan bermutu tinggi. Adalah menjadi fitrah manusia mahukan kemajuan dan menginginkan sesuatu yang bermutu tinggi dalam semua perkara.

Semua maklum, kebangkitan Islam tidak berdasarkan longgokan harta benda (material). Islam bangkit berdasarkan kefahaman, ketakwaan, keimanan dan keikhlasan yang tertanam dalam jiwa setiap pendokongnya.

Golongan intelektual dan ilmuan telah mencetuskan suatu zaman yang mana umat Islam diterangi dengan pelbagai bidang ilmu yang pada ketika itu barat dalam kegelapan. Kesederhanaan hidup melumpuhkan sikap tindas menindas sesama manusia untuk mengejar kemewahan duniawi yang sementara. Hal ini, mempercepatkan lagi perkembangan kebangkitan Tamadun Islam.

Sejarah telah membuktikan paksi kebangkitan tamadun Islam harus diteraskan kepada takwa. Umat mesti mantap akidah mereka dari sudut takwa. sikap yang betul atau the right attitude towards takwa amat penting. Dengan takwa, umat akan hidup dalam keadaan yang sentiasa sedar dan selalu 'beringat-ingat' akan kewujudan dan mentauhidkan Allah S.W.T.

Setiap hari, setiap jam, setiap minit, setiap saat, setiap gerak dan tingkah laku, setiap jiwa yang masih bernyawa, setiap nikmat yang masih mengalir dimanfaatkan dengan penuh rasa kehambaan dan rendah hati. Tentunya, secara tidak langsung individu akan menghalusi yang halal, haram, sunat, makruh dan harus disebabkan ketakwaan yang telah dihamilkan dalam diri maka lahirlah peribadi unggul dan ulung. Allah telah menjanjikan bahawa orang yang bertakwa adalah sebaik-baik umat seandainya mereka menyeru kebaikan dan melarang perkara maksiat di sisi Allah. Melalui pembangunan tamadun Islam yang berteraskan takwa telah membuka mata manusia bahawa suluhan tauhid adalah perisai keunggulan dan kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Kesimpulannya, sebagai gagasan demi kebangkitan semula sebuah peradaban atau kebangkitan semula Tamadun Islam, maka paksi kebangkitan tamadun Islam harus diteraskan kepada takwa. Umat mesti dipulihkan akidah mereka dari sudut takwa terlebih dahulu. InsyaAllah dengan pemulihan akidah umat, kebangkitan semula tamadun Islam pasti menjelma lagi.

Renungkan Firman Allah S.W.T:

Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.

(al-Imran:110)